Wednesday, February 3, 2010

Gula dijual melebihi harga kawalan dirampas

PEGAWAI PPDNKK melihat sebahagian daripada lima tan gula yang dirampas di sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan, semalam. - MD SHAHJEHAN MAAMIN

--------------------------------------------------------------------------------



NILAI 3 Feb 2010 - Gara-gara menjual gula pada harga RM1.80 sekilogram, stok gula sebanyak lima tan milik seorang peniaga dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri di sini hari ini.

Pembongkaran aktiviti peniaga berkenaan adalah hasil risikan anggota penguat kuasa PPDNKK negeri yang bertindak menyamar sebagai pembeli sebelum serbuan dijalankan.

Timbalan Pengarahnya, Mohd. Nor Musa berkata, hasil daripada aduan orang ramai, pihaknya telah menghantar dua anggota untuk menyamar sebagai pelanggan ke premis tersebut bagi menjalankan siasatan.

''Kami menerima maklumat bahawa peniaga tersebut sememangnya menjual gula pada harga RM1.80 sekilogram, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM1.65.

''Justeru, kami telah menjalankan serbuan kira-kira pukul 1 petang ke premis berkenaan dan dalam serbuan ini kita bertindak merampas stok gula yang terdapat di premis itu yang dianggarkan sebanyak lima tan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan rampasan di premis peniaga itu di sini hari ini.

Selain menjual secara runcit, peniaga terbabit juga merupakan pembekal gula kepada peniaga kecil di sekitar bandar ini.

Katanya, selain rampasan, peniaga tersebut juga akan dikenakan kompaun di bawah Seksyen 5, Akta Kawalan Harga 1946.

''Ketika serbuan dibuat, pemilik perniagaan itu memberi alasan bahawa anaknya yang ditugaskan menjaga kedai tersebut tidak tahu kadar harga gula yang ditetapkan.

''Itu sebenarnya alasan yang sama diberikan kepada kami di mana premis ini merupakan kes kelima di negeri ini yang menjual gula melebihi harga yang ditetapkan bagi tahun ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras peniaga yang mencabul hak pengguna negara ini.

No comments:

Post a Comment