Saturday, February 6, 2010

3 beranak, pasangan kekasih ditahan bersama 13 guni daun ketum

BESUT 6 Feb 2010 - Polis menahan lima individu iaitu tiga beranak dan pasangan kekasih bersama 13 guni daun ketum dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, pasangan kekasih itu dipercayai bertindak sebagai pembekal daun ketum yang dibawa masuk dari luar negeri ini.

Katanya, pembeli yang terdiri daripada tiga beranak itu merupakan pasangan suami isteri beserta seorang anak lelaki mereka dari Kampung Kolam, dekat sini sebelum ini pernah ditahan kerana kesalahan yang sama.

Ketika serbuan, kira-kira pukul 10.30 malam semalam, kesemua suspek sedang berurusan di sebuah rumah manakala daun ketum dipercayai baru dipunggah dari kenderaan.

Bercakap pada sidang akhbar di IPD Besut di sini semalam, Kamarudin berkata, kesemua daun ketum bernilai kira-kira RM3,200 itu dipercayai untuk diproses sebelum dijual di pasaran tempatan.

"Rampasan ini merupakan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun dan polis akan meneruskan gerakan membanteras kegiatan penjualan daun ketum," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

No comments:

Post a Comment