Tuesday, February 9, 2010

Sindiket palsu kad diesel tumpas

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my



Roslee Chik (kiri) menunjukkan kad diesel bersubsidi yang dipercayai palsu digunakan oleh sindiket pengklonan selepas tertangkapnya tiga lelaki tempatan di sebuah stesen minyak di Mergong, Kedah pada sidang akhbar mengenai rampasan pelbagai jenis kad kredit palsu di IPK Pulau Pinang, semalam. -BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 9 Feb. - Penangkapan tiga lelaki tempatan di sebuah stesen minyak di Mergong, Kedah pada Jumaat lalu berjaya membongkar satu sindiket pengklonan kad diesel bersubsidi milik syarikat RapidPenang Sdn. Bhd. (RapidPenang).

Dalam tempoh tiga bulan, syarikat itu mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM900,000 akibat tindakan sindiket itu yang memalsukan kad diesel subsidi miliknya untuk kegunaan sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan ketika sibuk menjalankan 'operasi' mengklonkan kad diesel bersubsidi milik syarikat pengangkutan itu berdekatan sebuah stesen minyak kira-kira pukul 11.30 malam.

"Kita menjalankan siasatan setelah menerima laporan daripada RapidPenang bahawa mereka kerugian sebanyak RM900,000 dalam tempoh Julai hingga Oktober tahun lalu angkara pihak tertentu yang memalsukan akaun milik syarikat.

"Kita percaya sindiket ini mendapat bantuan pekerja di stesen minyak di sekitar negeri ini yang membekalkan diesel subsidi kepada RapidPenang bagi menjayakan taktik kotor mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Roslee, hasil siasatan polis, pekerja di stesen minyak tersebut akan membekalkan data akaun asal kepada sindiket ini yang kemudiannya dipindahkan ke komputer riba milik mereka yang mempunyai sistem untuk mengklon data.

Katanya, data itu kemudiannya dipindahkan ke dalam kad minyak syarikat pengusaha minyak lain untuk kemudahan suspek.

"Diesel subsidi itu kemudian dijual kepada pihak ketiga pada harga yang lebih tinggi," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas 32 keping kad minyak milik pelbagai jenis pengusaha minyak diesel, mesin pengesan data, komputer riba dan alat pengimbas kad ketika menahan kesemua suspek.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan pekerja stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket berkenaan dan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan suspek.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 11 Februari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu, katanya.

No comments:

Post a Comment