Tuesday, February 16, 2010

Sabah&Sarawak: Gerai jual mercun belakang balai polis (16/2/10)

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my

JUALAN mercun di Pasar Tamu Kota Sentosa menarik perhatian kanak-kanak.


Segelintir peniaga di Kenyalang Park pamer secara terbuka

KUCHING: Semakin diharamkan semakin banyak pula dijual. Mungkin kerana sambutan sesuatu perayaan itu dianggap tidak meriah sekiranya tiada bunyi letupan atau dentuman mercun yang kadang-kadang menimbulkan suasana seperti berada di zon perang.

Tidak kira Tahun Baru Cina atau Aidilfitri, permintaan kepada mercun dan bunga apa pasti meningkat dengan orang ramai masih sanggup membeli ‘bahan letupan kecil’ berkenaan untuk dimainkan bersama keluarga.

Tinjauan Berita Harian di sekitar Kenyalang Park, yang hanya terletak di belakang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Kota Sentosa, mendapati segelintir peniaga berani menjual mercun secara terbuka kepada pengunjung yang membeli-belah di kawasan berkenaan.

Walaupun jumlah mercun dipamerkan kepada orang ramai tidak banyak, dipercayai penjual sedia menerima tempahan daripada pembeli sebelum barangan berkenaan diambil dari gudang yang dirahsiakan bagi tujuan ‘keselamatan.’

Seperti goreng pisang panas, mercun mendapat sambutan dan pembeli tidak terhad kepada masyarakat Tiong Hua saja kerana ada pembeli Dayak dan Melayu turut membeli mungkin untuk stok dan akan dimain ketika sambutan perayaan masing-masing selepas ini.

MERCUN bom paling laris.

Antara jenis mercun dijual ialah mercun lada, papan merah dan ‘coloured flower’ selain bunga api bersaiz besar yang kerap digunakan ketika majlis perasmian tertentu.

Harga mercun memang mahal, malah jika dibandingkan dengan mercun seludup tahun lalu, harga pada tahun ini lebih mahal dengan sekotak mercun lada yang dulu hanya dijual sekitar RM4 kini mencecah RM10.

Bagi mercun papan merah sepanjang kira-kira dua meter, ia dijual pada harga RM40 dengan harga bunga api gergasi boleh mencecah RM100 mengikut saiz dan jumlah tembakan bunga apinya.

Seorang peniaga mercun berusia awal 20-an, berkata mercun dan bunga api yang dijual adalah stok lama dengan ia dibawa masuk sejak tahun lalu lagi sebelum disimpan di lokasi rahsia dan hanya dikeluarkan ketika musim perayaan.

"Mercun sekarang macam emas kerana harganya tidak pernah turun, malah akan naik setiap kali musim perayaan dengan ia akan menjadi lebih mahal sekiranya pihak berkuasa membuat rampasan.

"Boleh dikatakan semua mercun dan bunga api yang dijual pada setiap hari akan habis dijual dengan keuntungannya memang besar dengan saya turut mendapat komisen daripada taukeh," katanya tanpa menyedari sedang ditemubual oleh pemberita Berita Harian.

Penulis berbual dengan seorang lagi rakannya yang berusia 30-an yang duduk berhampiran gerai kecil sementara yang dibuka di tengah laluan orang ramai, sambil memerhatikan pengunjung lalu lalang.

Difahamkan, aktiviti menjual mercun dan bunga api di dua lokasi berkenaan hanya bermula minggu lalu dengan peniaga lain di kawasan sekitar memaklumkan kegiatan berkenaan akan berhenti selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, peniaga barang kelengkapan rumah yang dikenali sebagai Hong Liam, 46, berkata peniaga berlesen tidak berani membuka gerai sementara di laluan orang ramai kerana pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas.

"Mereka akan lari sekiranya ada pihak berkuasa yang memeriksa mercun dan bunga api berkenaan, selain sanggup meninggalkan meja dan kaki meja yang kemudian akan dituntut individu tertentu.

"Saya percaya ada individu tertentu yang berpakat dengan penjual mercun dan bunga api berkenaan sehingga mereka berani datang ke sini untuk berniaga secara terbuka walaupun mengetahui ada larangan mengenainya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata larangan bermain mercun sudah lama dikuat kuasa, namun masih ada segelintir orang ramai yang degil.

"Ada segelintir peniaga mengambil risiko menjual mercun secara terbuka di samping menjual bunga api biasa dan mercun pop-pop," katanya.

No comments:

Post a Comment