Friday, February 12, 2010

Rahsia kedai kosong di Pandan Jaya terbongkar

Abdul Jalil Hassan menunjukkan minuman keras tanpa cukai dan mercun yang disimpan di tempat rahsia sebuah kedai, di Pandan Jaya, Ampang, malam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



AMPANG 12 Feb 2010 - Jika dilihat dari luar, tiada apa-apa yang menarik dengan sebuah kedai kosong di Jalan Pandan 3/2, Pandan Jaya ini.

Namun, siapa sangka di sebalik tiada yang menarik itu, sebenarnya tersimpan satu rahsia. ia adalah tempat menjual pelbagai jenis arak dan mercun tanpa cukai dan permit sah.

Malah kedai itu yang sentiasa tertutup, hanya beroperasi dengan menggunakan satu kaunter kecil ala pandu lalu.

Lebih memeranjatkan, kedai tersebut turut dilengkapi tiga kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan terbongkar apabila diserbu polis kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 20-an.

Katanya, polis juga merampas 1,656 tin arak, 134 botol arak dan beberapa kotak mercun yang dianggarkan bernilai RM30,000.

"Ketika serbuan, suspek sedang berurus niaga dengan seorang pelanggan di kaunter berkenaan.

"Suspek memiliki pasport sah, bagaimanapun menyalahgunakan dokumen itu untuk melakukan jenayah.

"Hasil siasatan, kegiatan haram itu telah beroperasi sejak dua bulan lalu di sekitar Pandan Jaya," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini malam tadi.

Beliau berkata, bagi mengabui kegiatan haram itu, para pelanggan diwajibkan menekan loceng di luar kaunter sebelum pekerja melihat identiti mereka melalui CCTV.

"Setelah dirasakan selamat, barulah urusan jual beli dijalankan," katanya lagi.

Abdul Jalil memberitahu, polis turut membongkar laluan rahsia di sebalik sebuah almari besar yang menghubungkan ke bilik setor simpanan pelbagai jenis arak dan mercun.

"Polis sedang menyiasat dan memburu dalang kegiatan itu dan meminta orang ramai yang memiliki maklumat supaya segera menghubungi pihak berkuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment