Thursday, February 11, 2010

Warga Afrika miliki 1,778 not RM50 palsu ditahan

IZANY Abdul Ghany menunjukkan wang palsu RM50 yang berjaya dirampas dari warga asing pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 11 Feb 2010 - Mereka yang tamak pasti tidak akan menolak jika ditawarkan pertukaran wang yang memberi keuntungan berlipat ganda.

Namun, seorang ahli perniagaan tidak 'kelabu mata' apabila ditawarkan keuntungan hampir empat kali ganda oleh seorang lelaki warga Afrika yang menawarkan khidmat pertukaran wang ringgit Malaysia (RM) dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

Dia yang sangsi dengan tawaran tersebut membuat laporan polis dan ternyata keraguannya berasas apabila siasatan mendapati wang ditawarkan itu sebenarnya palsu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, bertindak atas laporan tersebut, polis menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 28 tahun bersama 1,778 keping wang RM50 palsu di Persiaran Hamshire Off Jalan Ampang di sini Isnin lalu.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an yang berasa sangsi dengan tawaran lelaki itu.

"Bertindak atas laporan itu, polis kemudiannya mengekori suspek yang memandu kereta Proton Gen.2 berwarna biru yang ketika itu dalam perjalanan menemui mangsa di Ampang.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 1,778 keping wang RM50 pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam di bahagian tempat duduk sebelah pemandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Izany berkata, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut dengan menelefon mangsa terdiri daripada ahli-ahli perniagaan secara rawak.

"Dalam perbualan telefon, dia akan menawarkan khidmat pertukaran wang dengan mangsa mengikut nisbah AS$20,000: RM140,000.

"Suspek kemudian menetapkan waktu perjumpaan untuk transaksi pertukaran wang dan menunjukkan beberapa bungkusan mata wang Malaysia bertujuan meyakinkan mangsa," katanya.

Izany berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai Isnin lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar berurusan dengan institusi kewangan berlesen seperti bank dan pengurup wang jika ingin menukar mata wang bagi mengelak daripada ditipu.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai urusan tukaran wang asing yang tidak melalui institusi kewangan berlesen boleh memaklumkan kegiatan haram itu kepada polis dengan menghubungi balai terdekat atau Rakan Cop di talian 03-21159999 atau SMS ke 32728.

No comments:

Post a Comment