Thursday, February 25, 2010

Cubaan seludup 6 pati di Pengerang gagal

JOHOR BAHRU 25 Feb 2010 - Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang cuba menyeludup masuk ke negara ini ditahan di pesisir pantai muara Sungai Santi, Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 62 tahun termasuk seorang tekong, ditahan oleh Pasukan Gerakan Marin (PGM) dalam Ops Octopus kira-kira pukul 5 pagi.

Turut dirampas sebuah enjin sangkut dengan 60 kuasa kuda jenis Yamaha dan sebuah bot gentian kaca.

Komander Markas PGM Wilayah 2, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abd. Rahman berkata, semasa rondaan, pihaknya mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan di perairan Pengerang.

"Sebaik sahaja dihampiri, bot tersebut tiba-tiba memecut laju ke arah pantai. Bagaimanapun mereka dapat ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khamsani berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengerang dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/1967 kerana tiada dokumen perjalanan sah selain memasuki atau keluar dari Malaysia melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

Sementara itu, katanya, PGM Wilayah 2 menahan seramai 83 warga asing mengikut Akta Imigresen 1953/1967 sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

No comments:

Post a Comment