Thursday, February 11, 2010

Felda, Orang Asli sasaran ajaran sesat

KUANTAN 11 Feb. - Kumpulan ajaran sesat di negeri ini dikesan menjadikan kawasan luar bandar termasuk tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli sebagai sasaran untuk menyebarkan dakyah mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata, bagaimanapun, penyebaran ajaran tersebut terutama di dua kawasan terbabit masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Tegas beliau, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan ajaran songsang itu menerusi tindakan yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

''Kumpulan ajaran songsang ini telah menukar modus operandi mereka daripada kawasan bandar dan luar bandar kepada tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli.

''Bagaimanapun, JAIP berjaya mengesan pergerakan mereka dan sehingga kini mereka tidak aktif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rela dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Bersama Masyarakat Air Putih di sini kelmarin.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan sebanyak 42 kumpulan ajaran sesat diketuai individu tertentu dikesan sedang bergerak aktif di negeri ini.

Menurut Mohamad Sahfri, kebanyakan kumpulan ajaran sesat yang bergiat di Pahang berasal dari negeri jiran.

Katanya, kumpulan ini memilih tanah rancangan Felda dan perkampungan Orang Asli kerana beranggapan kawasan berkenaan tersorok dan terpinggir.

''JAIP tetap akan melakukan pemantauan di mana sahaja dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mempunyai bukti kukuh," ujarnya.

No comments:

Post a Comment