Wednesday, February 3, 2010

Sindiket tipu gas subsidi tumpas

JOHOR BAHRU 3 Feb 2010 - Satu sindiket penipuan gas subsidi berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob, Skudai di sini hari ini.

Sindiket itu dipercayai melakukan penipuan dengan mengurangkan kandungan gas asli cecair (LPG) di dalam tong untuk kegunaan domestik sebelum diedarkan kepada peruncit di bandar raya ini.

Serbuan pukul 10.30 pagi oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri itu berjaya merampas 220 tong berisi gas subsidi dan 300 tong tanpa isian gas bernilai RM40,000.

Pengarahnya, Che Halim Ab. Rahman berkata, siasatan awal mendapati kilang itu dijadikan markas memindahkan kandungan gas subsidi dari tong 14 kilogram ke tong 50 kilogram secara tidak sah sejak lebih tiga bulan lalu.

Beliau berkata, semasa diserbu, terdapat empat pekerja warga asing sedang memindahkan gas subsidi dari tong gas 14 kilogram ke dalam tong 50 kilogram di dalam premis kilang itu.

"Siasatan juga mendapati, pemilik premis menggunakan taktik kotor iaitu setiap tong gas berisi 14 kilogram dikurangkan sebanyak dua kilogram sebelum dibekalkan kepada peruncit di sekitar bandar raya ini," katanya.

Che Halim berkata, gas LPG dalam tong berisi 14 kilogram adalah bahan kawalan bersubsidi untuk kegunaan domestik manakala gas LPG dalam tong berisi 50 kilogram adalah untuk kegunaan industri.

"Harga bagi gas LPG yang disubsidi adalah RM1.76 sekilogram, manakala harga bagi gas LPG untuk kegunaan industri adalah RM3.30 sekilogram," katanya.

No comments:

Post a Comment