Friday, February 12, 2010

KPDNKK rampas telefon bimbit

JOHOR BAHRU 12 Feb 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 133 buah telefon bimbit bernilai RM53,000 kerana menggunakan logo kementerian berkenaan tanpa kebenaran dalam serbuan di sebuah premis di Johor Jaya di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abd. Hamid Abu Bakar berkata, dalam operasi pukul 11.30 pagi itu, pihaknya merampas kesemua telefon bimbit itu yang diimport dari negara China.

Menurut beliau, siasatan mendapati, syarikat pengeluar telefon bimbit tersebut tidak mendapat kebenaran daripada KPDNKK untuk meletakkan logo kementerian pada kotak telefon bimbit itu.

"Kita percaya mereka mengambil kesempatan dengan meletakkan logo KPDNKK untuk mengaut keuntungan selain mengelirukan pengguna.

"KPDNKK pada masa yang sama masih menyiasat sama ada telefon yang dirampas itu sama ada ia merupakan produk tiruan," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi di sini semalam.

Katanya, pihaknya turut mengambil keterangan ke atas empat pekerja premis tersebut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perihal Dagangan 1972.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Pasar Borong Pandan di sini, KPDNKK merampas 5,000 keping cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) cetak rompak termasuk lucah bernilai RM20,000.

Kata Abdul Hamid, dalam serbuan pukul 5 petang itu, pihaknya turut menemui sebuah lubang rahsia di dalam salah sebuah daripada lima premis itu yang digunakan untuk menyorok cakera optik tersebut.

Beliau berkata, lima pekerja berusia lingkungan 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

No comments:

Post a Comment