Thursday, February 11, 2010

Sentral: Pegawai MPAJ menyamar serbu rumah urut (12/2/10)

Oleh Halina Mohd Noor
Kegiatan mencurigakan berselindung di sebalik premis sentiasa bertutup

AMPANG: Tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan penyamaran sebagai pelanggan di sebuah rumah urut di Pandan Indah, akhirnya berhasil memberikan jawapan berhubung aktiviti mencurigakan yang dilakukan premis yang bertutup selama ini.

Susulan itu, rumah urut yang beroperasi di Pusat Komersial Pandan Indah itu bukan saja diserbu MPAJ baru-baru ini, malah turut disita selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram kerana tidak memiliki lesen perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.



Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPAJ, Rosli Jaafar, bersama tujuh anggota penguat kuasanya turut menemui dua tukang urut warga Thailand.

Rosli berkata, tindakan penyamaran dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada aktiviti tidak bermoral dijalankan premis berkenaan kerana mendapati pintu depan premis itu sentiasa bertutup rapat tetapi ramai pengunjung menuju ke pintu belakangnya.

Beliau berkata, hasil siasatan itu, pihaknya mendapati rumah urut terbabit hanya membenarkan pelanggan biasa atau dikenali saja masuk menerusi pintu belakang untuk mendapatkan khidmat urut termasuk khidmat seks yang ditawarkan wanita terbabit.

Pintu premis itu sentiasa bertutup seolah tiada apa yang berlaku tetapi sebenarnya menjalankan perniagaan urut dan khidmat seks yang mendapat sambutan di kalangan pelanggan.

Ketika kakitangan MPAJ menyamar sebagai pelanggan untuk masuk ke rumah urut itu, mereka terkejut apabila pemilik premis itu meletakkan beberapa anjing mengawasi premis berkenaan, sekali gus dapat memberi amaran awal menerusi salakannya jika premis itu dikunjungi individu tidak dikenali termasuk anggota penguat kuasa, katanya.

Rosli berkata, pemilik premis itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana melakukan pengubahsuaian dalaman tanpa kelulusan daripada pihak majlis untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Beliau berkata, MPAJ akan meneruskan operasi mengesan kegiatan tidak bermoral seperti itu dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan bagi memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan bebas daripada gejala sosial yang memberi imej negatif kepada MPAJ.

No comments:

Post a Comment