Wednesday, February 24, 2010

Janda guna pikap seludup minyak (24/2/10)

RANTAU PANJANG: Seorang janda dari Sungai Golok, Thailand, meraih keuntungan RM1,200 sehari sejak dua tahun lalu, hasil kegiatan menyeludup 600 liter petrol dari Malaysia dengan menggunakan sebuah pikap yang diubah suai tangkinya.

Kegiatannya dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi pemeriksaan ketika melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) di sini jam 7.30 malam kelmarin, apabila semakan mendapati ia keluar masuk negara ini setiap hari.

Namun wanita berusia 40-an itu terlepas daripada tindakan undang-undang negara ini, walaupun memiliki dan berada dalam pikap terbabit, kerana kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang diupah pada kadar 30 sen seliter.

Selain pikap Toyota Hilux Vigo milik wanita terbabit, sebuah lagi kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki turut ditahan selepas dikesan mengubah suai tangki bagi menyeludup 90 liter petrol.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Kamarudin Yusoff, berkata secara keseluruhannya nilai petrol yang dirampas menerusi dua tangkapan itu kira-kira RM700.

“Mereka berulang alik ke beberapa stesen minyak sekitar Pasir Mas, bagi memenuhkan tangki sebelum kembali ke negara asal dan menjualnya pada harga RM3.80 seliter, berbanding harga belian di sini RM1.80 seliter.

“Kenderaan milik wanita terbabit pernah ditahan Disember lalu. Pemantauan mendapati dia memang masuk ke sini untuk mengisi minyak dengan banyak bagi diseludup,” katanya.

Kamarudin berkata, dua kenderaan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

No comments:

Post a Comment