Wednesday, February 3, 2010

Cubaan seludup diesel tumpas

KANGAR 3 Feb 2010 - Bukan sekali tetapi tiga kali sehari. Ia dilakukan seorang warga Thailand yang sanggup menyeludup diesel subsidi ke negaranya tiga kali dalam sehari.

Namun kegiatan suspek memakan diri apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Siasatan mendapati suspek menyeludup bahan api tersebut pada pagi, petang dan malam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek menyeludup diesel pada 7 pagi sebelum diberkas pukul 5.20 petang.

Katanya, ketika ditahan, suspek cuma berada kira-kira 400 meter dari perairan Thailand.

"Pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati ada dua tangki diisi dengan 1,200 liter diesel subsidi.

"Diesel ditemui di dalam tangki pertama di petak belakang dan tangki kedua di dalam petak ikan yang diubah suai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejayaan lain, Abdul Rahim berkata, pihaknya menahan sebuah lagi bot kerana cuba menyeludup diesel subsidi pada 5.45 petang semalam.

Katanya, turut ditahan dua warga emas rakyat Thailand berusia 71 dan 73 tahun.

Menurut Abdul Rahim, pemeriksaan mendapati bot itu mengandungi 850 liter diesel yang dimuatkan dalam dua buah tong.

"Kedua-dua bot nelayan itu berasal dari Jeti Pangkalan Sungai Baru Perlis dan Kuala Perlis manakala nilai diesel dirampas kira-kira RM5,740," katanya.

Kata beliau, ketiga-tiga rakyat Thailand itu akan didakwa kerana cuba menyeludup keluar diesel tanpa kebenaran di bawah Seksyen 21 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kegiatan menyeludup diesel subsidi melalui jalan laut meningkat, dipercayai ekoran kawalan ketat pihak berkuasa terhadap penyeludupan di jalan darat.

"Dalam tempoh seminggu kita membuat empat tangkapan penyeludupan diesel subsidi hasil maklumat awam," katanya.

Beliau berkata, penyeludup juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menukar strategi penyeludupan iaitu menggunakan bot kelas A iaitu bot nelayan lebih kecil berbanding bot kelas B yang lebih besar.

Katanya, ini kerana setelah menyedari banyak bot kelas B yang telah disenaraihitamkan pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment