Thursday, February 11, 2010

LKIM dedah nelayan buat laporan palsu

PAPAR 11 Feb 2010 - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendedahkan terdapat nelayan yang membuat laporan polis palsu kononnya enjin sangkut mereka dicuri.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, tindakan segelintir nelayan yang tidak bertanggungjawab itu amat dikesali memandangkan enjin sangkut berkenaan bertujuan memudahkan mereka mencari rezeki di laut.

''Memang ada nelayan sanggup membuat laporan palsu mendakwa enjin sangkut mereka dicuri sedangkan perkara itu adalah tidak benar. Sebaliknya, mereka menjual enjin tersebut.

''LKIM memandang serius kegiatan penjualan peralatan yang disalurkan kerajaan terhadap para nelayan kerana ia menyalahi peraturan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peralatan nelayan dalam program Bantuan Peningkatan Pendapatan (BPP) 2009 Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di sini hari ini.

Seramai 48 nelayan dari Parlimen Papar menerima bantuan berjumlah hampir RM500,000 membabitkan peralatan dan kelengkapan menangkap ikan yang disumbangkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan.

Abdul Rahim berkata, LKIM kini bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada nelayan melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu lagi.

Mengenai BPP, beliau memberitahu, antara bantuan yang sedang dinikmati oleh para nelayan di seluruh negara pada masa kini ialah elaun sara hidup RM200 sebulan, e-Petrol, e-Diesel dan beberapa bantuan lain yang disalurkan kerajaan.

Menurutnya, seramai 63,000 nelayan di seluruh negara menerima bantuan elaun sara hidup RM200 sebulan membabitkan peruntukan RM170 juta.

Katanya, sehingga kini, LKIM masih meneruskan pembayaran elaun sara hidup bagi memastikan para nelayan dapat meningkatkan pendapatan mereka yang masih lagi 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini, LKIM juga sedang memantau aktiviti nelayan yang tidak turun ke laut, tetapi menerima bantuan kerajaan.

''Walaupun dianggarkan tiga hingga lima peratus nelayan seluruh negara tidak aktif ke laut, namun mereka terus menerima bantuan kerajaan, kita tetap memandang serius perkara ini.

''LKIM tidak teragak-agak untuk menyenaraihitamkan nama mereka termasuk membatalkan semua bantuan diterima kerana menyalahgunakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment