Tuesday, February 23, 2010

Rahsia bengkel akhirnya terbongkar

Junaidi Mohamed melihat lapan buah motosikal curi yang ditemui setelah polis berjaya menahan dua mekanik di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 23 Feb 2010 - Sambutan luar biasa perniagaan sebuah bengkel motosikal diusahakan tiga sahabat menimbulkan rasa curiga penduduk di Taman Medan di sini.Ini kerana rumah yang dijadikan bengkel itu menawarkan alat-alat ganti motosikal dengan harga amat murah.

Namun segala-galanya terbongkar apabila sebenarnya ketiga-tiga 'mekanik' itu adalah pencuri motosikal.

Kejayaan itu diperoleh setelah sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini membuat serbuan di bengkel tersebut kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam melalui laporan polis.

Katanya, hasilnya, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan yang bertanggungjawab terhadap banyak kehilangan motosikal di taman perumahan itu.

"Siasatan mendapati suspek bersama dua rakannya terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

"Motosikal itu kemudian dibuka untuk diambil alat gantinya. Ia akan dijual semula kepada pelanggan dengan harga jauh lebih murah," katanya pada sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, Arjunaidi berkata, polis turut merampas lapan motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Beliau berkata, polis juga menemui sejumlah alat ganti dipercayai hasil daripada kegiatan mencuri motosikal.

"Kita percaya ketiga-tiga suspek terbabit menjalankan kegiatan haram itu sejak setahun lalu," ujar beliau

Arjunaidi berkata, polis kini sedang mencari dua rakan suspek yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka ialah Mazwan Mazlan (gambar), 20, berasal dari Taman Medan dan Shahrul Md. Yusof, 25, dari Kuala Lumpur.

"Sesiapa mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua suspek boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli alat ganti motosikal yang dijual pada harga murah kerana berkemungkinan ia barangan curi.

No comments:

Post a Comment