Sunday, February 28, 2010

PGM Sabah rampas 5,800 karton rokok

Aris menunjukkan sebahagian bungkusan rokok yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Putatan, Kota Kinabalu, semalam. - utusan/Junaidi Ladjana.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 28 Feb 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Sabah merampas sebanyak 5,800 karton rokok seludup bernilai kira-kira RM33,000 dalam dua serbuan di Putatan dekat sini kelmarin.

Komander PGM Kota Kinabalu, Asisten Supritendan Mohd. Aris Jambul berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita dua buah kenderaan yang digunakan untuk membawa rokok berkenaan.

"Serbuan pertama dilakukan di pesisir pantai Pulau Gaya di mana pihak kami telah menemui satu tempat persembunyian atau 'transit' rokok-rokok tersebut sebelum diedarkan kepada pembeli.

"Serbuan kedua pula dilakukan pada pukul 11 malam terhadap dua buah kenderaan yang diletakkan berhampiran Sungai Putatan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama itu, pihaknya merampas 2,800 karton rokok seludup jenis 'Premium' manakala 3,000 bungkus rokok jenis yang sama dirampas dalam serbuan kedua.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan pertama tetapi dalam serbuan kedua, seorang suspek bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri," katanya.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati, rokok berkenaan dipercayai diseludup untuk dipasarkan di sekitar bandar raya ini. Dalam pada itu, Mohd. Aris meminta kerjasama orang ramai memberikan maklumat kepada pihak polis mengenai kegiatan jenayah di negeri ini.

Katanya, polis akan melindungi identiti pemberi maklumat dan melakukan siasatan segera terhadap sebarang laporan yang diterima.

"Tanpa sokongan dan kerjasama daripada orang ramai, pihak kami mungkin mengalami sedikit kesukaran bagi membendung jenayah maritim terutamanya penyeludupan dan pengeboman ikan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment