Thursday, February 4, 2010

SPRM siasat wakil rakyat Selangor (4/2/10)

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan peruntukan membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen, termasuk bekas wakil rakyat di negeri berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad, berkata kertas siasatan itu dibuka sebagai tindakan susulan selepas menjalankan risikan terhadap aduan dan maklumat diterima daripada pelbagai pihak baru-baru ini.

“Kami masih di peringkat awal siasatan dan ketika ini usaha sedang dilakukan untuk mengumpul maklumat, termasuk meneliti dokumen bagi mengesahkan senarai perbelanjaan digunakan wakil rakyat terbabit.



“Bekas Adun dan Ahli Parlimen yang disiasat itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan SPRM kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.

Jaafar berkata, antara pihak yang mengemukakan aduan dan maklumat adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Kami memberi perhatian terhadap semua aduan dan maklumat diterima tanpa mengira latar belakang sama ada pengadu atau pihak yang disyaki terbabit dalam rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, tambahan tujuh pegawai SPRM Selangor tahun ini dapat membantu mengurangkan beban kerja terutama dengan pendekatan mesra rakyat yang diamalkan suruhanjaya berkenaan bagi mendapat kerjasama berkaitan isu rasuah.

“Selepas sibuk dengan kes mendiang Teoh Beng Hock sebelum ini, mulai tahun ini tumpuan terperinci boleh dilakukan untuk meneruskan siasatan terhadap kes yang tertangguh serta kes baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment