Wednesday, February 10, 2010

Cubaan seludup bahan api gagal

Oleh IRDINA ILLYIAS
utusansabah@utusan.com.my

LAHAD DATU 10 Feb. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 9,600 liter diesel dan petrol bernilai kira-kira RM16,500 dalam dua tangkapan di perairan Bohaydulang semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu, Asisten Supritendan Rusdin Banin berkata, turut dirampas dalam 'Operasi Tayang' itu adalah 10 tong gas dan dua bot yang digunakan untuk menyeludup keluar barang kawalan berkenaan.

Katanya, tangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 1.10 pagi melibatkan sejumlah 4,000 liter diesel dan 1,000 liter petrol.

"Dua lelaki termasuk juragan bot masing-masing berusia 28 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri dan cuba menyeludup keluar barang kawalan itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rusdin berkata, tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 1.35 pagi, tidak jauh dari kawasan tangkapan pertama membabitkan sebuah lagi bot panjang.

Katanya, dalam tangkapan itu, PGM merampas sejumlah 3,800 liter diesel, 800 liter petrol dan 10 tong gas yang cuba diseludup keluar dari negara ini.

Menurutnya, dua lelaki termasuk juragan bot masing-masing berusia 27 dan 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah, semua lelaki yang ditahan dan barang rampasan dihantar ke pangkalan PGM di sini dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, kedua-dua operasi itu dilakukan oleh sepasukan lima anggota PGM diketuai oleh Inspektor Ahmad Puad Othman.

No comments:

Post a Comment