Sunday, January 30, 2011

64 peniaga ambil kesempatan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Biarpun isu kekurangan bekalan minyak masak kembali reda, namun masih lagi terdapat peniaga barangan kawalan itu 'mengambil kesempatan' apabila sebanyak 64 kes dikesan gagal mematuhi peraturan sepanjang bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah itu, 18 kes adalah membabitkan peniaga yang gagal menyelenggara akaun harian selain 15 kes berniaga tanpa lesen.
Selain itu, katanya, 13 kes pula dikesan memiliki barang kawalan secara tidak sah, enam pemborong didapati menyimpan melebihi kapasiti dibenarkan dan tiga kes pula membabitkan pemindahan barang kawalan ke tempat tidak berlesen.
''Sementara itu, kes-kes lain masing-masing mencatatkan satu atau dua kes membabitkan pemborong dan peruncit barang kawalan itu di seluruh negara.
''Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan tiada kenaikan harga minyak masak dan rakyat diminta jangan membeli secara panik,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar Jinjang Utara dan Pasar raya besar Giant Brem Mall, Kepong di sini hari ini.
Lawatan tersebut diadakan sempena kempen Skim Kawalan Harga sempena musim perayaan Tahun Baru Cina yang bermula hari ini sehingga 10 Februari ini.
Sebanyak 11 jenis barang ditetapkan pada skim kawalan harga itu melibatkan harga maksimum borong dan runcit dibuat bagi 146 kawasan dan daerah di seluruh negara dengan 1,606 harga maksimum borong dan 1,606 harga maksimum runcit.
Beliau berkata, seramai 1,600 pemantau dan 1,900 penguat kuasa telah memulakan tugas memantau harga barang di seluruh negara sepanjang kempen itu.
''Bagaimanapun, kita berbangga peniaga tidak menaikkan harga barang malah menjual pada harga lebih rendah.
''Kita turut berharap mereka mengekalkan harga itu supaya tidak membebankan pengguna untuk menyambut perayaan tidak lama lagi,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna diminta memahami keadaan cuaca tidak baik ketika ini yang telah menjejaskan tangkapan makanan laut.
''Oleh itu, harga bahan mentah itu didapati naik sedikit tetapi kita tidak dapat mengawal harganya kecuali ikan bawal putih dan udang putih sahaja,'' katanya.

No comments:

Post a Comment