Tuesday, January 25, 2011

Bekas pengarah syarikat Ho Hup Constructions Bhd didakwa

2011/01/26
KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat Ho Hup Construction Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memaklumkan perubahan kepentingan selepas menjadi pemegang saham berjumlah besar kepada syarikat itu seperti yang dikehendaki di bawah Akta Syarikat 1965.

Datuk Low Tuck Choy, 52, didakwa mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam Syarikat Low Chee & Sons Sdn Bhd, didakwa gagal memaklumkan perubahan kepentingan kepada Syarikat Ho Hup melalui borang 29B bertarikh 15 Jan 2010, melebihi tempoh tujuh hari seperti yang termaktub di bawah Seksyen 69F(2) akta itu. Low didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Ho Hup yang beralamat di No 18 Jalan 17/155C, Bandar Bukit Jalil di sini, pada 15 Januari 2010. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 69M Akta Syarikat 1965 dan dibaca bersama Seksyen 6A Akta Syarikat 1965 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohamad Azies Han Mohd Fadzil dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia manakala Low diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment