Tuesday, January 4, 2011

Perkeso tidak lantik orang tengah urus tuntutan kemalangan di tempat kerja

Perkeso tidak lantik orang tengah urus tuntutan kemalangan di tempat kerja
KUALA LIPIS 4 Jan. - Semua pekerja yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diminta tidak terperangkap dengan kegiatan 'orang tengah' ketika membuat tuntutan mengenai sesuatu kemalangan di tempat kerja.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Perkeso, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menerima laporan terdapat pencarum ditipu oleh individu tertentu yang sudi menjadi orang tengah jika terbabit kemalangan semasa bekerja.

Menurutnya, individu terbabit mendakwa boleh menghubungkan mangsa dengan agensi itu bagi memudahkan urusan untuk menerima pampasan.

Katanya, agensi itu tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi 'orang tengah' untuk menguruskan hal ehwal tuntutan.

"Malah kita tidak pernah menghalang sekiranya pekerja atau waris ingin berurusan terus dengan pejabat pertubuhan itu jika bersabit tuntutan kemalangan.

"Kita tidak pernah melantik mana-mana pihak menguruskan atau membantu sesuatu permohonan tuntutan sama ada mengenakan caj perkhidmatan daripada mangsa atau waris berkenaan seperti yang pernah dilaporkan oleh media.

"Pihak yang mendakwa orang tengah itu mengambil kesempatan mengaut keuntungan menerusi caj tertentu daripada hasil caruman yang diperoleh pekerja atau waris dan tindakan ini memburukkan imej Perkeso sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Seranta dan Penyampaian Cek Perkeso Bentong di sini baru-baru ini.

Mohammed Azman menjelaskan, Perkeso melaksanakan dua jenis skim iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Sehubungan itu katanya, pekerja berkenaan perlu datang ke pejabat pertubuhan berdekatan dan mengemukakan tuntutan pada bila-bila masa untuk diproses oleh pihaknya.

"Tuntutan menerusi skim berkenaan boleh membantu kebajikan pekerja atau waris mereka untuk memulihkan semula kehidupan selepas menghadapi musibah iaitu kemalangan semasa bekerja," katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman menegaskan, semua majikan perlu mencarum kepada Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja separuh masa dan tetap yang menjamin keselesaan kehidupan pencarum pada masa akan datang.

Katanya, Perkeso memandang serius kedegilan pihak majikan yang belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka supaya dapat meringankan beban kesengsaraan apabila mereka terlibat kemalangan.

"Kita memantau segelintir majikan yang masih berdegil serta memberi panduan berasaskan situasi menang-menang dan perlu mematuhi peraturan Perkeso mengenai hak dan kebajikan pekerja," tambahnya

No comments:

Post a Comment