Thursday, January 6, 2011

Peguam diperintah bela diri tuduhan rasuah

06/01/2011 2:46pm


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang peguam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan meminta dan menerima suapan daripada anak guamnya, seorang doktor kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugut, enam tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, Ranjit Singh, 57, di akhir kes pendakwaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ranjit didakwa secara rasuah meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada Dr. Chong Kuck Meng, 46, bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap seorang pelajar Lee Khai Yin, 26, di Lobi Hotel Le Meridien, Jalan Stesen Sentral pada 11.45 malam, 22 April 2005.

Bagi pertuduhan kedua, Ranjit turut didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai RM7,000 daripada Kuck Meng kononnya untuk menyogok polis bagi menyelesaikan siasatan kes ugutan jenayah terhadap Khai Yin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Twin Happiness, Pekan Slim River, Batang Padang, Perak pada 8.30 malam, 28 Jun 2005.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan seramai 10 saksi, manakala Ranjit diwakili peguam Mohd Afifuddin Hafifi akan mengemukakan lima saksi pembelaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment