Tuesday, January 11, 2011

Bekas Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dipenjara 6 bulan, denda RM20,000

2011/01/11
SHAH ALAM: Seorang bekas Penolong Pegawai Daerah dihukum penjara enam bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pagi tadi selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM10,000 daripada Ketua Eksekutif sebuah syarikat melombong pasir, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mat Ghani membenarkan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan tertuduh membuat rayuan dan mengekalkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Norhanizatuazwin Samsuni, 30, dikenakan hukuman itu selepas Hakim Mat Ghani Abdullah mendapati dia bersalah kerana setuju menerima wang RM10,000 daripada Ketua Eksekutif syarikat Syarikat Winmont Development Sdn Bhd, Datuk Lau Kim Soo, sebagai balasan kepada kelulusan untuk satu permit membawa keluar pasir. Pembayaran dalam bentuk cek itu digunakan sebagai sebahagian daripada pembayaran unit pangsapuri miliknya di perumahan Rumah Pangsa Kajang Impian.

Ketika kesalahan itu dilakukan, Norhanizatuazwin adalah penolong Pegawai Daerah di Hulu Langat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 17 Mac 2009 di pejabat Trans Loyal Development Sdn Bhd di alamat No 45A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang.

Ketika mitigasi, peguam K Puspalingam yang mewakili Norhanizatuazwin, memohon supaya hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya diringankan berikutan wanita berkenan menanggung ibu apa serta seorang anaknya.
"Anak guam saya digantung tugas kerana kes ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian memohon hukuman yang berat dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh sepatutnya memikirkan akibat perbuatannya sebelum melakukan kesalahan itu.

Seramai 15 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

No comments:

Post a Comment