Sunday, January 9, 2011

‘Kontraktor’ tipu RM250,000 ditahan

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

2011/01/10
Bekas kakitangan SAJ perdaya tujuh individu

PONTIAN: Kelicikan seorang bekas kakitangan Syarikat Air Johor (SAJ) menipu dengan menawarkan kontrak pemasa-ngan paip hingga menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh individu rugi RM250,000, berakhir apabila dia ditahan polis, Khamis lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan anggota Cawangan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Pontian yang mengesan kereta dipandunya berdekatan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, jam 2.45 petang.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata siasatan mendapati suspek memperdayakan tujuh individu sejak setahun lalu, dengan mempelawa mereka menjadi rakan kongsinya dalam perniagaan.
“Suspek dipercayai menggunakan pengalaman dan pengetahuannya ketika bertugas dengan SAJ sebelum ini, untuk memperdayakan mangsa, kononnya dia adalah kontraktor syarikat utiliti terbabit sebelum menawarkan projek pemasangan paip air di daerah ini.

“Suspek dikesan mempelawa semua mangsa menjadi rakan kongsi perniagaannya sebelum mereka menyedari tertipu selepas menyerahkan wang. Mereka tampil membuat laporan sebaik menyedari tertipu.

“Siasatan mendapati semua projek ditawarkan suspek kepada mangsa sebenarnya tidak wujud, malah dia juga tidak mempunyai dokumen berkaitan projek yang didakwa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahaliman berkata, pihaknya percaya ramai lagi individu menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit dan meminta mereka tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.
“Suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dengan denda dan sebatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, suspek sebelum ini pernah dipenjara dua tahun pada 2004 atas kesalahan menipu dan terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai polis.

No comments:

Post a Comment