Sunday, January 30, 2011

Majikan potong gaji tidak carum KWSP

2011/01/30

SEBAHAGIAN pekerja sebuah syarikat keselamatan menunjukkan penyata KWSP mereka di Batu Maung, semalam.
GEORGETOWN: Lebih 200 pengawal keselamatan sebuah syarikat kawalan keselamatan di Batu Maung, di sini mendakwa majikan mereka gagal mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun gaji mereka dipotong setiap bulan sejak tiga tahun lalu.

Lebih malang lagi, jika ada pekerja yang bersuara mengenai isu berkenaan, mereka akan dipecat dan sehingga kini beberapa pengawal keselamatan sudah diberhentikan.
Pengawal keselamatan itu juga mendakwa mereka sudah membuat aduan kepada KWSP dan berulang kali ke pejabat agensi berkenaan, tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan iaitu ‘masih dalam siasatan.’
Jurucakap pekerja itu, Ahmad Ibrahim, 42, berkata masalah itu disedari apabila beberapa pekerja membuat semakan di KWSP dan mendapati majikan tidak membuat caruman walaupun gaji mereka dipotong setiap bulan.

Sehubungan itu, katanya, pekerja yang terbabit sudah mengadakan perbincangan dengan majikan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, tetapi sehingga kini masih tiada penyelesaian.

“Kami pernah membangkitkan perkara ini tetapi majikan memberi pelbagai alasan seperti cek lambat proses. Mereka juga mendakwa pemeriksaan rekod perlu dibuat di KWSP Seberang jaya, bukannya Bayan Baru,” katanya yang ditemui bersama 50 pekerja syarikat itu di Batu Maung, semalam.

Ahmad mendakwa, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan majikan kerana penyata gaji menunjukkan potongan dibuat setiap bulan membabitkan purata RM120 sebulan setiap pengawal keselamatan.
“Kami pelik ke mana perginya duit yang dipotong daripada gaji kami. Ini hak kami yang sepatutnya dijaga majikan dan ia jaminan untuk kami pada hari tua. Cuba bayangkan pekerja yang sudah berhenti, sudah pasti majikan akan lepas tangan," katanya.

Ketika ditanya kenapa sekarang baru mahu membangkitkan masalah ini, Ahmad berkata, pihaknya trauma untuk mengadu kerana ada rakan yang pernah mengadu pada media atau agensi berkaitan, dibuang kerja dengan pelbagai alasan.

“Kami juga yakin, selepas perjumpaan dengan media hari ini (semalam), akan ada antara kami yang akan dipecat atau diberi notis gantung kerja, potong gaji ataupun cubaan membuat kami berhenti secara rela dengan memindahkan kami ke negeri lain seperti yang berlaku pada 2008 dan 2009,” katanya.

Sementara itu, bekas pengawal keselamatan yang mendakwa dipecat tujuh bulan lalu, Mohd Saffuan Adnan, 24, berkata dia yang berkhidmat dengan syarikat itu selama lima tahun, hanya mempunyai caruman KWSP sebanyak RM1,000.

“Saya banyak kali mempertikaikan ke mana pergi caruman saya dan majikan yang mungkin risau masalah saya akan diketahui pekerja lain, memecat saya dengan notis 24 jam dengan alasan syarikat yang menggunakan khidmat syarikat kami tidak mahu melanjutkan kontrak,” katanya

No comments:

Post a Comment