Wednesday, January 19, 2011

Ketua jemaah tarik emas dicekup

Dari: Harian Metro




KUALA LUMPUR: Wanita warga Indonesia yang mendakwa mampu menarik emas dan mempunyai kira-kira 20 pengikut membabitkan lelaki muda dan tampan, dicekup di rumahnya di Taman Meru Empat, Klang awal pagi semalam.

Ketika ditahan sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu pada kira-kira jam 3 pagi, wanita berkenaan didapati sedang mengurut seorang pengikutnya di ruang tamu rumah mereka.


Seorang daripada anggota SRS yang enggan dikenali berkata, ketika tangkapan dibuat seorang lagi pengikut wanita berusia 40-an itu berada dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah.


Menurutnya, penduduk taman perumahan itu membabitkan anggota SRS dan KRT membuat serbuan selepas pemantauan dan intipan selama dua minggu selepas kisah wanita itu disiarkan Harian Metro pada 11 Januari lalu.


“Penangkapan dilakukan pada jam lebih kurang 3 pagi semalam. Ketika diserbu dua lelaki muda turut berada di dalam rumah, seorang daripada mereka ditangkap ketika diurut wanita itu.


“Seorang lagi yang berada di dalam bilik cuba melarikan diri menggunakan pintu belakang, namun ditahan pihak kami yang terlebih awal mengepung rumah itu,” katanya.



Katanya, sebelum serbuan dilakukan, mereka menghubungi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), namun penguat kuasa jabatan itu tidak hadir walaupun sudah berkali-kali dihubungi.


“Berikutan itu, wanita itu dan dua lelaki yang juga dibawa ke Balai Polis Meru. Kami dimaklumkan, pada jam 10 pagi tadi (semalam) baru anggota Jais datang.


“Namun, kami agak kecewa kerana selepas disoal siasat kira-kira satu jam, wanita itu dan dua lelaki terbabit dibebaskan. Kami keliru mengapa dia tidak ditahan terus sedangkan kami diberitahu pas lawatan sosial milik wanita itu sudah tamat tempoh,” katanya.


Kegiatan wanita itu yang dipanggil Kak Emi atau Ibu oleh pengikutnya disiarkan akhbar ini 11 Januari lalu kerana dia dikatakan ligat memancing pemuda tampan berusia 20-an dijadikan pengikutnya bagi dilatih menjadi ejen perbuatan khurafat menarik emas dari alam ghaib.


Wanita berkenaan dikatakan menjalankan kegiatan penipuan itu sejak empat tahun lalu di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, jumlah pemuda tampan yang menjadi pengikutnya mencecah 20 orang.


Lebih menjelikkan, beberapa pengikutnya turut dipercayai tinggal serumah dan melakukan hubungan seks bersama Ibu itu di rumah sewanya.


Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof berkata, Jais perlu menjalankan siasatan dengan teliti walaupun mereka yang ditahan itu dipercayai melakukan kesalahan khalwat dan amalan pelik yang dilakukan.


Menurutnya, mungkin lebih mudah jika penguat kuasa Jais yang melakukan tangkapan kerana sudah pasti siasatan dan risikan yang dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai, selain memiliki kuasa menguatkuasakan undang-undang syariah.


“Lazimya, mereka bukan dibebaskan sewenang-wenangnya, tetapi dengan bon jaminan dan dipanggil semula ke pejabat Jais bagi direkodkan siasatan terperinci yang dilakukan Jais bagi melengkapkan siasatan sebelum mereka boleh didakwa berdasarkan enakmen jenayah berkaitan.


“Bukan itu saja, Jais juga akan mendapatkan maklumat daripada kumpulan masyarakat di taman berkenaan yang bertanggungjawab menahan mereka yang disyaki,” katanya, semalam.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan.

No comments:

Post a Comment