Thursday, January 20, 2011

Suapan RM60,000 - hukuman ditangguh

Jan 21, 11 11:24amKongsi 0Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini menangguhkan hukuman terhadap bekas pegawai daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang didapati bersalah meminta rasuah lima tahun lalu kerana sedang menjalani rawatan penyakit jantung di Hospital Besar Pulau Pinang.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan 28 Jan ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Jamil Mohd Noor, 58, selepas peguamnya Rosli Ismail mengemukakan surat mengenai rawatan itu.

Mohd Jamil didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 27 Jan 2006 pukul 11 malam di Restoran Nasi Kandar An Nur, Kepala Batas.

Dia cuba meminta wang suapan RM60,000 daripada Arizal Mohd Arshad untuk menaikkan nilai pampasan pengambilan balik sebahagian tanah Lot 3482 GM2058, Mukim 5, SPU bagi meluaskan kawasan meletak kenderaan di Pasar Awam, Kepala Batas.

Mohd Jamil dituduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun atau denda RM300,000 atau lima kali nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Janariah Abdul Mutalib.

No comments:

Post a Comment