Tuesday, January 11, 2011

Hakim asal sambung perbicaraan bekas CEO Sime Bank

PUTRAJAYA 11 Jan. 2011 - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Ketua Bahagian Penasihat di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Khadijah Idris kembali bertindak selaku Hakim Mahkamah Sesyen bagi menyambung perbicaraan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank Bhd., Datuk Ismail Zakaria.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hasan Lah memutuskan demikian setelah menolak rayuan Ismail agar bekas hakim berkenaan yang telah dilantik ke jawatan itu, menarik diri daripada terus mendengar perbicaraannya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Maarop mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Khadijah terus mendengar kes tersebut hingga selesai.

Hakim Hasan ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa tidak wujud kemungkinan bahawa Khadijah berlaku berat sebelah terhadap perayu walaupun beliau pernah dilantik sebagai Peguam Cara Perbendaharaan dan kini berkhidmat dengan AGC.

Ismail, 68, diperintah membela diri atas empat tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) iaitu bertindak di luar bidang kuasanya ketika meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Pada 6 Februari 2008, Khadijah menolak permohonan perayu agar beliau menarik diri dan seterusnya menetapkan 30 Jun hingga 4 Julai 2008 untuk Ismail mula memberi keterangan bela diri.

Khadijah selesai mendengar kes pendakwaan pada 2004 sebelum berkhidmat dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Pada 1 Jun 2007, beliau dilantik sebagai Peguam Cara Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Sebelum itu, peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Ismail berhujah, hakim berkenaan perlu menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam prosiding itu bagi mengelakkan wujud unsur-unsur berat sebelah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Murtazadi Amran berhujah bahawa tugas selaku Peguam Cara Perbendaharaan tidak menimbulkan sebarang konflik ketika mengendalikan kes itu.

Hujah beliau, tugas Khadijah hanya selaku penasihat berkaitan BAFIA bukannya terlibat sebagai pihak pendakwaan walaupun Ismail didakwa di bawah akta tersebut.

Ismail diperintah membela diri atas empat tuduhan bertindak di luar bidang kuasanya meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta di pejabatnya di Tingkat 2, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di ibu negara antara 20 September 1997 dan 21 Oktober 1997.

Ismail didakwa bertindak di luar terma dan syarat tugasnya sebagai CEO dalam meluluskan pinjaman RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise Capital Sdn. Bhd., sebuah syarikat pegangan pelaburan pada 1997.

Semua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 65(1) BAFIA 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, Ismail boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment