Sunday, January 16, 2011

1,000 liter diesel subsidi dirampas

TAIPING 16 Jan. 2011 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini merampas 1,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM4,000 dalam satu serbuan di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, sepasukan pegawai diketuai Ahmad Zakhiri Mohamad telah membuat intipan ke atas sebuah van yang membawa muatan minyak tersebut.

Ketuanya, Basaruddin Mohiyuddin berkata, pasukan itu membuat pengintipan lebih 15 minit dan mengekori van tersebut selama satu jam bagi mengesan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, pihaknya menahan van tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati, van itu membawa dua tong minyak diesel bersubsidi sejumlah 1,000 liter.

"Siasatan awal kami percaya diesel itu dibeli mengikut harga subsidi untuk dijual kepada pengusaha industri.

"Berikutan itu, kami menyita van dan diesel tersebut, manakala pemandunya yang berusia lingkungan 40-an ditahan untuk diambil keterangan," katanya di sini hari ini.

Basaruddin berkata, kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(3) Peraturan Kawalan Bekalan (Penandaan Barang Berjadual) 2006, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment