Tuesday, January 25, 2011

UPP Kedah rampas 32 kotak mercun papan

KUBANG PASU 25 Jan. 2011 - Kegiatan menyeludup mercun sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, sudah bermula.
Dalam satu operasi tengah malam tadi, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Changlun merampas mercun papan bernilai RM19,200 yang cuba diseludup masuk di persimpangan Jalan Kampung Langsat Lebuh Raya Changlun-Perlis, dekat sini.
Komandernya, Muhamad Zunaidi Nairitt Abdullah berkata, mercun jenis 888 itu ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tersadai di tepi jalan menghala ke Kodiang semasa anggotanya menjalankan rondaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, kenderaan jenis Naza Ria berwarna hitam itu dipercayai ditinggalkan oleh pemandunya di tepi jalan akibat mengalami kerosakan enjin.
"Ketika diperiksa, kenderaan itu tidak berkunci. Kami kemudian menemui kotak-kotak mercun yang ditutup dengan kain hitam di tempat duduk belakang kenderaan itu.
"Kesemua kerusi penumpang dalam kenderaan itu telah dibuang bagi memudahkan pemiliknya memuatkan kotak-kotak mercun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Muhamad Zunaidi berkata, berikutan itu, anggotanya melakukan intipan selama tiga jam sebelum kenderaan itu dibawa ke Pangkalan UPP Changlun selepas tiada siapa yang menuntutnya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 32 kotak mengandungi 1,920 papan mercun papan yang dipercayai untuk pasaran tempatan disorok di dalam MPV bernombor pendaftaran Malaysia itu.
"Siasatan lanjut mengenai siapa pemilik kenderaan itu sedang dijalankan. Kami akan berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk menyiasat sama ada ia menggunakan nombor pendaftaran palsu," ujarnya.
Kes itu, katanya, akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana mercun-mercun berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Katanya, rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment