Tuesday, January 25, 2011

Sindiket seludup warga Afghan tumpas tumpaskan

PELABUHAN KLANG 25 Jan. 2011 - Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia menjadikan rakyat Afghanistan yang ingin mencari perlindungan di Australia sebagai sasaran apabila memberkas dua lelaki yang mendalangi kegiatan itu di Jeti Pulau Ketam di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, selain anggota sindiket, turut ditahan ialah tiga lelaki warga Afghanistan yang ingin berhijrah secara haram ke Pulau Christmas di Australia.

Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M. Chandran berkata, pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan sindiket terbabit hasil kerjasama dengan Jabatan Imigresen Indonesia dan syarikat Feri Indomel Ekspres.

"Pihak kami menunggu di Jeti Pulau Ketam setelah dimaklumkan oleh Imigresen Indonesia bahawa tiga lelaki Afghanistan yang ingin menyeludup masuk ke Pulau Christmas melalui negara ini kini berpatah balik ke Malaysia setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa di republik itu.

"Kapten feri yang dinaiki suspek juga memberi kerjasama dengan mengawasi dan melaporkan pergerakan suspek sepanjang perjalanan sebelum mereka ditangkap," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditangkap sebaik sahaja keluar dari feri, manakala pemandu teksi yang diupah membawa mereka diberkas di tempat letak kereta berhampiran jeti tersebut.

Menurutnya, rakan pemandu teksi iaitu lelaki Indonesia yang berada berhampiran bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa Imigresen.

Katanya, suspek berlari masuk ke dalam komuter yang sedang berhenti dan keluar semula menahan sebuah teksi untuk melarikan diri.

"Saya bersama empat anggota terpaksa mengejar suspek sejauh kira-kira 300 meter dan berjaya memberkasnya apabila pemandu teksi bertindak memberhentikan kenderaannya sebaik menyedari penumpang dibawa sedang dikejar oleh penguat kuasa Imigresen.

"Dalam insiden itu, anggota saya terjatuh dan mengalami kecederaan tetapi ia tidak menghalang usaha kami menangkap suspek," ujarnya.

Chandran berkata, siasatan mendapati, lelaki Afghanistan terbabit bergerak masuk melalui Pakistan, Thailand, Malaysia dan Indonesia sebelum ke Pulau Christmas.

Menurutnya, pelarian terbabit memiliki tiga pasport palsu iaitu Afghanistan, Pakistan dan Peru untuk digunakan sepanjang perjalanan ke Australia.

Beliau berkata, semasa perjalanan dari Afghanistan ke Thailand, mereka menggunakan pasport Pakistan dan pasport Peru digunakan semasa tiba ke Malaysia, Indonesia dan Pulau Christmas nanti.

"Apabila tiba di tengah laut, mereka diminta mengoyak dan membuang pasport Pakistan yang digunakan sebelum itu.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, pasport Peru yang dibawa sudah siap dicop oleh Imigresen kononnya semasa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang," katanya.

Beliau berkata, mereka membeli pasport palsu Peru itu dengan harga 1,000 Dolar Amerika Syarikat (AS$) atau RM3,053.

Apabila usaha mereka memasuki Indonesia gagal, katanya, pelarian terbabit berpatah balik ke Malaysia untuk bersembunyi di sebuah hotel di Sepang.

Katanya, lelaki Indonesia dan pemandu teksi masing-masing berusia 32 tahun dan 40-an yang ditangkap ditugaskan membawa pelarian ini ke hotel sementara menunggu untuk diseludup semula ke Pulau Christmas menggunakan taktik lain.

"Setiap lelaki Afghanistan terbabit akan membayar AS$500 (RM1,526.50) kepada lelaki Indonesia itu untuk upah membawa mereka ke hotel," katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas wang AS$500 daripada tiga lelaki berkenaan.

Chandran berkata, ketiga-tiga lelaki Afghanistan itu kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pasport 1966, manakala dua anggota sindiket disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang 2007.

No comments:

Post a Comment