Tuesday, January 25, 2011

Petugas JPJ didakwa peroleh rasuah RM200

2011/01/25
SHAH ALAM: Seorang petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memperoleh suapan RM200 sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu lori April tahun lalu.

Zafri Zulkepli, 28, dari Jasin, Melaka, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. Tertuduh, yang bertugas sebagai pemeriksa kereta motor di JPJ Wilayah Persekutuan, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan itu daripada Eng Kim Seng sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap K Nadarajan yang melakukan kesalahan meletak kenderaan yang menghalang lalu lintas di Jalan Samudera Barat 3, di Taman Samudera, Gombak, pada 10.40 malam 14 April tahun lalu. Zafri, yang ditangkap pada 15 April tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 , yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mat Ghani membenarkan Zafri dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta seorang penjamin dan menetapkan empat hari bermula 9 Mei ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Fadzillah Mohd Ossman manakala Zafri diwakili peguam Martin Tay. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment