Tuesday, January 25, 2011

Rasuah Jakim, pengurus dipenjara dipenjara

ALOR SETAR 25 Jan. 2011 - Seorang pengurus kilang dihukum penjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah RM1,000 kepada dua pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lima tahun lalu.

Hakim Zainol Saad menjatuhkan hukuman itu ke atas Teh Choon Guan, 49, selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu di Guan Xeng Industries Sdn. Bhd., Kulim pada pukul 10.10 pagi, 9 November 2006.

Dia didakwa memberi suapan wang tunai RM500 bagi setiap pegawai Jakim terbabit sebagai dorongan agar mereka tidak melaporkan hasil pemeriksaan pensijilan halal ke atas syarikatnya, Guan Xeng Industries Sdn. Bhd.

Dalam pemeriksaan itu, syarikat itu didapati tidak memenuhi prosedur pensijilan halal yang ditetapkan oleh Jakim.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Ghani Darus mengikut Seksyen 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan selain membebaskan tertuduh dengan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Paul membayar jaminan dan denda tersebut.

No comments:

Post a Comment