Sunday, January 23, 2011

Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang didakwa

Oleh Petah Wazzan Iskandar

2011/01/24
GEORGETOWN: Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki harta wang dan hartanah lebihan sebanyak RM152,081 yang melampau daripada pemilikan yang sepatutnya.

Abdul Rahman yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa selepas gagal memberi penjelasan yang memuaskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika disoal siasat di sini pada 11 Oktober tahun lalu. Beliau disiasat mengikut Seksyen 36(3) Akta SPRM 2009. Bagaimanapun, tertuduh yang berpakaian hitam dengan tenang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didapati memiliki harta wang dan hartanah sebanyak RM817,355 yang terdiri daripada Akaun Amanah Saham Bumiputera (RM334,245), Akaun Lembaga Tabung Haji (RM299,016) dan Akaun Maybank (RM48,094).

Manakala, nilai hartanah sebanyak RM136,000 yang menunjukkan terdapatnya harta berlebih-lebihan sebanyak RM152,081 selepas mengambil kira emolumen sekarang dan yang lalu dan segala hal keadaan berkaitan.

Abdul Rahman diwakili peguam Mohd Fadhly Hashim manakala SPRM diketuai Timbalan Pendakwaraya, Anthony Kelvin Morais.
Mohd Fadly meminta mahkamah mengurangkan nilai ikat jamin kerana Abdul Rahman sudah berkhidmat selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam dan adalah seorang yang dihormati masyarakat.

"Sejak kesnya disiasat, beliau memberi kerjasama sebaiknya dan tiada sebab untuk dirinya yang dijamin isterinya yang juga seorang pegawai perkhidmatan awam, untuk tidak hadir ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, Anthony berkata pihaknya membantah pengurangan ikat jamin kerana kes tertuduh adalah serius.

Sitarun membenarkan Abdul Rahman diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sebelum tarikh sebutan kes pada 13 Jun ini.

1 comment: