Tuesday, January 18, 2011

Cubaan seludup daging babi hutan tumpas

BUKIT KAYU HITAM 18 Jan. 2011 - Seorang pemandu lori ditahan di sini hari ini kerana cuba menyeludup keluar ke negara jiran tujuh tan daging yang dipercayai babi hutan yang telah dipotong-potong.

Daging tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000.

Lelaki berkenaan yang berumur 40-an ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di KM 0.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand tengah hari ini.

"Lori itu memuatkan ketulan-ketulan daging haiwan yang telah dipotong. Hasil pemeriksaan lanjut dan keterangan pemandu lori tersebut, didapati ketulan-ketulan daging adalah daging babi hutan yang disyaki dari Padang Besar, Perlis," kata Komander UPP Kedah, Mohd. Jasri Othman.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 65 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu mengeksport hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak lebih daripada satu tahun.

Kes itu diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment