Wednesday, January 19, 2011

Sentral: Jual arak di rumah sewa

2011/01/20


RUMAH sewa yang didiami warga asing dijadikan premis perniagaan di Taman Meru Utama.Warga asing di Taman Meru Utama kian bermaharajalela

KLANG: Kebanjiran peniaga warga asing di Taman Meru Utama di sini meresahkan penduduk tempatan yang mendakwa ketenteraman terganggu akibat tindakan mereka mengubah suai rumah disewa untuk dijadikan premis perniagaan haram. Penduduk meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak tegas melarang peniaga asing menjadikan kawasan perumahan itu sebagai premis perniagaan. Setiausaha Kejiranan dan Keselamatan Kariah Batu 7 Meru, Syed Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kabeer, berkata setakat ini, MPK hanya menyaman peniaga asing terbabit tanpa tindakan susulan lebih tegas untuk menghalang mereka daripada terus menjalankan perniagaan haram berkenaan.

"Saya pernah bertanya kepada peniaga terbabit dan mereka menyifatkan saman MPK itu seperti bayaran sewa, walaupun bukan setiap bulan disaman.

"Saya tidak faham tindakan MPK itu yang dianggap amat lemah tanpa menyita barang perniagaan mereka kerana perkara ini sudah lama berlarutan.

"Walaupun beberapa kali diserbu pihak berkuasa, keadaan di kawasan perumahan ini tetap tidak berubah, malah mereka dilihat lebih bermaharajalela tanpa memikirkan perasaan penduduk tempatan," katanya.
Tinjauan Sentral di taman berkenaan baru-baru ini mendapati, lebih lima rumah dijadikan premis perniagaan, selain sebuah rumah didakwa penduduk dijadikan tempat menjual minuman keras dari Myanmar.

Syed Hassan berkata, tindakan tegas sepatutnya diambil kerana mereka secara terang-terangan melakukan kesalahan berniaga tanpa lesen sah perniagaan.

Selain tidak memiliki lesen perniagaan dan tidak membayar cukai, mereka dikatakan membuang sampah sesuka hati menyebabkan sekitar kawasan perumahan itu kotor.

"Saya rasa tidak adil apabila warga asing dibiarkan berniaga tanpa lesen sedangkan jika penduduk tempatan melakukan perkara sama, peralatan perniagaan mereka disita.

“Kita juga musykil adakah warga asing itu memiliki dokumen perjalanan sah berada di negara ini kerana kehidupan mereka kelihatan selesa, seolah-olah berada di negara sendiri. Penguat kuasa jabatan berkaitan perlu menjalankan pemeriksaan segera,” katanya.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi pula berkata, selain berlaku kesesakan lalu lintas, sikap warga asing yang suka membuat bising mengganggu ketenteraman penduduk di taman berkenaan.

"Kawasan perumahan tidak boleh dijadikan premis perniagaan tetapi tanpa tindakan tegas pihak berkuasa tempatan, ia seolah-olah memberi lampu hijau kepada warga asing ini menjalankan perniagaan dan mengubah suai rumah tanpa halangan," katanya.

No comments:

Post a Comment