Monday, January 10, 2011

Denda RM5j, penjara 7 tahun

Denda RM5j, penjara 7 tahun

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seorang ahli perniagaan wanita dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 54 pertuduhan menipu, menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen dan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Raja Noor Asma Raja Harun, 48, turut diperintahkan Hakim S.M. Komathy Suppiah membayar penalti RM7,528,250.29 dan sekiranya gagal menjelaskannya, hukuman penjara tertuduh boleh ditambah enam bulan lagi.

Nilai penalti tersebut merupakan jumlah wang para pelabur yang tidak dapat diperolehi kembali oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, ketika membaca keputusannya, Komathy menyatakan hukuman yang dikenakan ke atas ibu tunggal itu dibuat selepas mengambil kira keseriusan kesalahan yang telah dilakukan.

Ujarnya, keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman akan terhakis sekiranya tertuduh yang merupakan pengarah dua buah syarikat dagangan (trading) tidak dikenakan hukuman yang setimpal.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anslem Charles Fernandis dan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti (SC), Susheel Kaur manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jimmy Chou.

Raja Noor Asma mengaku bersalah atas empat tuduhan menipu dan menjalankan perkhidmatan pasaran modal membabitkan pelaburan RM100 juta tanpa lesen antara Februari 2007 dan September 2008

Dia didakwa menggunakan satu skim untuk menipu para pelabur di pejabatnya, FX Capital Consultant (M) Sdn. Bhd. dan FX Consultant, Bandar Rawang Mutiara 1, Rawang dekat sini antara 5 Februari dan 27 September 2007 serta 28 September 2007 dan 9 Mei 2008.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 83(a) Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 dan Seksyen 206(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukan hukuman denda minimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Dia juga didakwa berdagang dalam kontrak niaga hadapan bagi pihak pelabur dengan bertindak sebagai broker tanpa lesen yang sah antara 7 Mei dan 27 September 2007 di tempat yang sama dan dituduh mengikut Seksyen 16(1)(a) Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 atas tuduhan menjalankan perkhidmatan pasaran modal tanpa lesen antara 28 September 2007 dan 9 Mei lalu.

Komathy menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 206(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, hakim itu turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM5 juta, gagal bayar penjara enam bulan.

Raja Noor Asma turut mengaku bersalah terhadap 50 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Dia didakwa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dengan menerima dan membuat pelbagai bayaran kepada beberapa bank serta syarikat di beberapa bank sekitar Rawang dan Gombak antara 5 April 2007 dan 9 Mei 2008.

Bagi setiap kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan berjalan serentak.

Perintah pemenjaraan bagi kesalahan di bawah AMLATFA berkuat kuasa sejurus selepas tamat hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan terdahulu.

Komathy turut membenarkan permohonan Anslem agar jumlah wang pelabur yang tidak dapat diperolehi semula oleh pihak berkuasa dituntut daripada tertuduh dalam bentuk penalti.

Beliau turut menetapkan 1 April ini prosiding tuntutan oleh pihak ketiga terhadap wang yang telah berjaya dirampas oleh pihak berkuasa,

Pada masa ini, SC berjaya merampas wang RM8,381,853.64 daripada tertuduh.

No comments:

Post a Comment