Tuesday, January 18, 2011

Tekong laut kaut RM4,000 sehari

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2011/01/19
Pendatang asing bayar RM400 seorang untuk seludup masuk ke Malaysia

JOHOR BAHRU: Kesukaran memasuki Malaysia menyebabkan tekong laut yang menyeludup pendatang tanpa izin dari negara jiran mengutip tambang sehingga RM400 seorang. Tambang tinggi itu membolehkan mereka mengutip sehingga RM4,000 setiap kali membawa 10 pendatang tanpa izin dengan menaiki bot dilengkapi enjin kuasa tinggi mencapai 400 kuasa kuda. Penggunaan enjin kuasa tinggi itu membolehkan tekong laut berulang-alik antara negara jiran dengan kawasan tumpuan pencerobohan negeri ini dalam tempoh singkat apabila hanya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi satu perjalanan, jika gagal dipintas pihak berkuasa negara ini.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abd Rahman, berkata pihaknya mengenal pasti pantai sekitar Pengerang, Desaru dan Sungai Rengit di Kota Tinggi, menjadi tumpuan pencerobohan.

“Penggunaan bot berkuasa tinggi menjadi modus operandi penyeludup kerana di sesetengah lokasi, jarak antara dua negara hanya kira-kira empat batu nautika yang mampu direntasi dalam masa setengah jam.

“PGM tidak menolak kemungkinan (hasil lumayan) serta faktor geografi dua negara memudahkan kegiatan penyeludupan secara aktif, walaupun setakat ini, kita belum mengetahui jumlah sebenar perjalanan dibuat dalam sehari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PGM Wilayah Dua, Rosman Ismail.

Mohd Khamsani berkata, berdasarkan soal siasat terhadap pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan selepas bot kuasa tinggi dinaiki mereka dipintas PGM, mereka mendakwa membayar RM400 kepada tekong bot untuk cubaan pencerobohan itu.

Katanya, walaupun kadar tambang terbabit dianggap tinggi, namun pendatang tanpa izin masih sanggup mengambil risiko dan membayarnya demi menceroboh negara ini semata-mata untuk mencari pekerjaan.

“Menyedari pelbagai taktik dan modus operandi pencerobohan pendatang tanpa izin itu, PGM kini meningkatkan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti, selain memantau kemasukan melalui laluan sah dalam usaha membendung kemasukan warga asing untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya.

Beliau mengakui usaha membanteras pencerobohan pendatang tanpa izin memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk di pesisir pantai untuk tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, selain tindakan mengikut Akta Imigresen, PGM juga tidak teragak-agak mencadangkan tindakan mengikut undang-undang pencegahan seperti Ordinan Darurat terhadap tekong yang ditangkap menguruskan pencerobohan.

“Selain faktor geografi yang terlalu hampir, pencerobohan juga berlaku berikutan faktor ekonomi yang kurang baik di negara sendiri serta faktor politik yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di kalangan pendatang tanpa izin,” katanya

No comments:

Post a Comment