Tuesday, January 11, 2011

Dua bekas pengarah syarikat tergamam

KUALA LUMPUR 11 Jan. 2011 - Dua bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan tergamam apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap mereka.

Ooi Boon Leong dan Tan Yeow Teck, kedua-duanya berusia 50 tahun, menunjukkan reaksi demikian selepas Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman sewaktu membenarkan rayuan pihak pendakwaan dari Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Hakim tersebut turut mengekalkan jumlah denda RM300,000 yang dikenakan ke atas kedua-dua lelaki itu oleh Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini.

Boon Leong yang juga ahli jawatankuasa audit dan Yeow Teck yang memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan syarikat Mems Technology Berhad (Mems) kemudian menarik nafas lega sebaik sahaja mengetahui mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, SC diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Roz Mawar Rozain, manakala kedua-dua perayu diwakili peguam bela Francis Ng Aik Guan.

SC mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Boon Leong dan Yeow Teck oleh Hakim Asmadi Hussin pada 25 Februari tahun lalu.

Pada tarikh tersebut, kedua-duanya mengaku bersalah atas tuduhan dengan sengaja memberi kebenaran mengemukakan pernyataan yang mengelirukan berhubung hasil Kumpulan Mems bagi tahun berakhir pada 31 Julai 2007 yang terkandung dalam kenyataan pendapatan tergabung bagi tempoh 12 bulan berakhir pada 31 Julai tahun sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Ghazali menyatakan, kesalahan kedua-dua perayu adalah sangat serius kerana ia membabitkan kepercayaan para pelabur dalam pasaran saham yang disifatkannya sebagai kayu pengukur terhadap kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata, sekiranya pelaburan dibuat berdasarkan maklumat palsu dan mengalami kerugian, orang ramai terutama pelabur akan menjauhkan diri daripada pasaran saham.

Oleh itu, hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan mengekalkan hukuman denda yang dikenakan sebelum ini dan turut menambah hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa hari ini.

Selain membenarkan hukuman penjara ditangguhkan, Ghazali turut membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 seorang beserta seorang penjamin.

Notis rayuan juga perlu difailkan selewat-lewatnya esok.

No comments:

Post a Comment