Tuesday, January 4, 2011

Sindiket tipu penyata bank buat pinjaman dikesan

KUALA LUMPUR 4 Jan. 2010 - Satu sindiket yang menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen bank dikesan bergerak aktif di sekitar Ampang sejak tiga tahun lalu.

Sindiket itu dikatakan melakukan penipuan dengan menggunakan salinan penyata bank palsu yang dicetak menggunakan komputer.

Difahamkan, penyata kewangan yang dikeluarkan Bank Hong Leong merupakan syarikat yang paling banyak ditiru dan hampir 100 peratus menyerupai penyata bank tulen yang dikeluarkan oleh bank tersebut.

Presiden Persatuan Peminjam Wang Berlesen Malaysia, R.C. Veeraseelan ketika mendedahkan perkara itu berkata, sindiket tersebut bertindak memalsukan salinan penyata bank bagi meyakinkan syarikat peminjam wang berlesen meluluskan permohonan pinjaman mereka.

Katanya, aktiviti penipuan yang dilakukan sindiket itu biasanya menggunakan penyata bank palsu melibatkan nilai pinjaman mencecah sehingga RM1 juta.

"Modus operandi sindiket tersebut adalah membuat penyata bank palsu yang tertera baki akaun dalam jumlah yang banyak.

"Bagaimanapun, apabila ahli-ahli syarikat peminjam berkenaan melakukan semakan dengan pihak bank terbabit ia sangat mengejutkan apabila bakinya hanya tinggal RM5," katanya ketika pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Jalan Ampang, di sini hari ini.

Ekoran kegiatan aktif sindiket tersebut, pihaknya turut menerima lebih 10 aduan mengenai kes tersebut melibatkan peminjam wang berlesen dari seluruh negara.

Sementara itu, seorang pemilik syarikat peminjam wang berlesen, W. K. Wong berkata, syarikatnya nyaris mengalami kerugian RM500,000 apabila cuba ditipu sindiket itu.

"Terdapat seorang pelanggan berjumpa dengan pihak kami sambil membawa penyata bank Hong Leong dengan menunjukkan baki akaun kononnya lebih RM600,000.

"Kami yang teruja untuk memberi pinjaman bagaimanapun sempat melakukan semakan ke atas penyata bank yang diberi pelanggan dan ternyata palsu setelah diperiksa," kata Wong.

Tambah Wong, pelanggan lelaki berusia 40-an itu memaklumkan dia memohon pinjaman untuk membeli tanah bernilai RM1 juta di Puchong.

Katanya, pelanggan lelaki itu bukan sahaja melakukan penipuan dari segi pemalsuan jumlah baki akaun dalam bank malah turut memalsukan tarikh pembukaan akaun bank terbabit.

"Hasil semakan dengan bank mendapati mendapati lelaki itu sebenarnya baru membuka akaun Bank Hong Leong.

"Malah baki akaun sebenarnya adalah sebanyak RM5, bukannya RM600,000," ujarnya.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan polis dibuat berhubung kes terbabit kerana pihak pemberi pinjaman wang sempat menghidu kegiatan penipuan sindiket itu sebelum meluluskan pinjaman yang dimohon.

No comments:

Post a Comment