Monday, January 17, 2011

Suami isteri mengaku tidak bersalah pegubahan wang haram

PULAU PINANG 17 Jan. 2011 - Bekas Ketua Pusat Khidmat Pelanggan, Bank Muamalat Bhd. cawangan Universiti Sains Malaysia (USM) dan suaminya hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kali ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram hampir RM200,000.

Pada 10 Disember tahun lalu, Aishah Mohamed Rose didakwa di mahkamah sama atas tuduhan pecah amanah harta milik bank tersebut bernilai RM1.57 juta.

Suaminya, Johari Ahmad pula yang merupakan seorang peguam didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.

Pada prosiding hari ini, Aishah dan Johari, kedua-duanya berusia 50 tahun, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdullah.

Raut wajah pasangan itu yang diwakili peguam Jagdeep Singh Deo dilihat bersahaja ketika jurubahasa bertanyakan pengakuan mereka.

Mengikut pertuduhan utama, Aishah sebagai ejen bank tersebut didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM183,702.63 melalui cek bertarikh 1 Disember 2009 ke dalam akaun pelanggan firma guaman, Johari Nasri & Tan.

Aishah dari Lintang Sungai Ara Dua, Bayan Lepas didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Disember tahun lalu, di cawangan bank tersebut di Bangunan D12, USM, Jalan Minden di sini.

Sementara Johari pula didakwa bersubahat dengan isterinya itu untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Sitarun Nisa membenarkan setiap tertuduh diikat jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 9 Februari ini.

No comments:

Post a Comment