Monday, February 7, 2011

Pejabat MB Perak kemuka laporan polis

2011/02/08


AZHAR menunjukkan salinan laporan polis dan salinan surat palsu yang menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar Perak pada sidang media di Ipoh, semalam.IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak semalam membuat dua laporan polis berhubung kes penipuan dan pemalsuan dokumen yang menggunakan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan jabatan kerajaan negeri berhubung kelulusan tanah.

Kedua-dua laporan berkenaan dibuat Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad di Balai Polis Pantai Remis pada jam 6 pagi dan di Balai Polis Sungai Senam di sini, tiga jam kemudian. Azhar berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri. Katanya, surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering bertarikh pada 9 Disember lalu.

“Surat kedua yang menggunakan modus operandi sama iaitu kepala surat Pejabat Menteri Besar serta mempunyai tanda tangan saya membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu.

“Kedua-dua surat berkenaan adalah palsu, tipu dan berniat jahat. Kita (Pejabat Menteri Besar) tidak pernah mengeluarkan surat seumpama itu, apatah lagi untuk meluluskannya. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa bagi tujuan itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media pejabatnya di sini, semalam.

Sidang media itu bagi mengulas perkembangan terbaru mengenai kes penipuan dan pemalsuan dokumen menggunakan nama Menteri Besar serta jabatan kerajaan negeri untuk meluluskan sesuatu projek.
Azhar berkata, laporan polis itu dibuat bagi menafikan sekeras-kerasnya mengenai pembabitan Menteri Besar atau dirinya dalam kes surat berkenaan.

“Saya mohon supaya mana-mana individu yang menerima surat sedemikian atau menjadi mangsa penipuan sindiket itu supaya membuat laporan polis, selain mendapatkan pengesahan lanjut daripada kerajaan negeri sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

Katanya, polis mengenal pasti seorang individu yang menjadi dalang dalam kegiatan penipuan terbabit dan kini mengumpul lebih banyak bukti kukuh sebelum bertindak menahannya.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita masih mengumpulkan lebih banyak bukti sebelum tindakan selanjutnya dibuat. Kita percaya ada dalang yang bertanggungjawab dan tidak menolak kemungkinan ada ‘orang dalam’ yang terbabit.

“Setakat ini, ada dua laporan polis dibuat dan tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan membabit penipuan.

No comments:

Post a Comment