Tuesday, February 8, 2011

Bekas perunding dipenjara tiga tahun kerana pecah amanah

2011/02/08
KUALA LUMPUR: Seorang bekas perunding hari ini dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan 498,000 unit saham P&O (Pacific & Orient Bhd) bernilai RM1.5 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff, membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd Nasir Abd Samad, 60. Bagaimanapun, Mohd Nasir yang mempunyai enam anak itu bernasib baik tidak dikenakan hukuman sebatan berikutan faktor umur. Terdahulu, permohonan peguam bela Lalitha Nagamuthu, yang mewakili Mohd Nasir, untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak Rozana, yang mengarahkannya memfailkan permohonan terlebih dulu.

Mohd Nasir didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai perunding Yayasan Pemodalan Guru Kebangsaan Bhd (kini dikenali sebagai Yayasan Guru Malaysia Bhd).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Keluarga Sdn Bhd Suite 901, Tingkat 9, Pernas International, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara Oktober 1995 dan Disember 1995.

Mohd Nasir dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding itu, seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment