Tuesday, February 22, 2011

Salah guna kelonggaran OIC?

Salah guna kelonggaran OIC?

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Feb. - Mungkinkah kebanjiran warga Iran di negara ini berpunca daripada perjanjian yang tercatat dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?

Ini kerana menerusi syarat dalam perjanjian, warga Iran boleh memasuki negara ini tanpa menggunakan visa selama tiga bulan kerana negara tersebut menjadi ahli OIC dan menjalin hubungan baik dengan Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, melalui perjanjian dalam OIC, warga Iran boleh memasuki negara ini tanpa sebarang visa untuk tempoh tersebut dan selepas itu mereka hanya perlu berhubung dengan Jabatan Imigresen untuk urusan seterusnya.

Katanya, walaupun tanpa sebarang visa selama tiga bulan, warga Iran perlu mempunyai pasport yang disahkan oleh negara mereka bagi melancarkan segala urusan di sini.

"Tidak dinafikan kelonggaran yang diberikan kepada warga Iran itu menyebabkan segelintir mereka mengambil kesempatan melakukan kegiatan jenayah termasuk terlibat dengan penyeludupan dadah di negara ini.

"Kita akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa lain dalam membanteras setiap jenayah yang dilakukan warga asing, bagaimanapun selagi mereka mempunyai dokumen yang sah, kita tidak mempunyai hak untuk menghalang mereka memasuki negara ini sebagai pelancong," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bulanan Jabatan Imigresen dan majlis perasmian Kempen Senyum, Sapa dan Sopan di Ibu Pejabat Imigresen di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Raja Mohd. Raja Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Aloyah Mamat.

Menurut Alias, jika terdapat warga asing dari mana-mana negara yang melanggar peraturan dan disenaraihitamkan, Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk menghalang mereka daripada memasuki negara ini.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 1.9 juta warga asing menetap di negara ini dan daripada jumlah tersebut, 11,409 orang merupakan warga Iran.

Tambah Alias, mereka memasuki negara ini dengan pelbagai tujuan antaranya untuk belajar, bekerja dan melancong. Malah ada antara mereka sudah mempunyai keluarga di negara ini.

Sejak Oktober tahun lalu, penglibatan warga Iran dalam kegiatan pengedaran dadah di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dengan penahanan 138 rakyat negara itu berbanding 16 tangkapan pada 2009.

Daripada jumlah itu, sebanyak 121 tangkapan terdiri daripada 'keldai dadah' iaitu orang yang dipergunakan untuk membawa dadah manakala bakinya disyaki pengendali dan anggota sindiket dadah.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lagi rakyat Iran termasuk dua wanita bersama dadah jenis syabu bernilai RM2.65 juta di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment