Sunday, February 13, 2011

Tiga warga Thailand cuba seludup 11,000 liter diesel

2011/02/14
KANGAR: Tiga awak-awak Thailand ditahan selepas dikesan menggunakan sebuah bot pukat tunda yang diubah suai dengan mempunyai 11 tangki minyak untuk menyeludup 11,000 liter diesel subsidi ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis, di sini, malam kelmarin.

Semua awak-awak berusia antara 20 dan 54 tahun itu ditahan bersama bot pukat tunda jenis C pada kedudukan 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis kira-kira jam 8.20 malam, iaitu lokasi sama di mana 1,500 liter diesel dan 500 liter petrol subsidi dirampas dua malam lepas. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah, berkata bot berkenaan dikesan dilengkapi dengan 11 tangki bersaiz besar, yang mana setiap satunya mampu mengisi sehingga 1,000 liter. Katanya, semua tangki terbabit dipasang khusus memenuhi ruang kabin bot yang kebiasaannya digunakan nelayan untuk tujuan berehat, iaitu masing-masing pada bahagian kiri dan kanan, manakala selebihnya dimuatkan pada bahagian atas kabin.

“Hasil siasatan, kita percaya bot berkenaan memang digunakan khusus sindiket sebagai transit untuk tujuan penyeludupan diesel subsidi ke negara jiran kerana tiada sebarang stok ikan ditemui ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pihaknya percaya kegiatan berkenaan bukan suatu yang baru dan bot berkenaan juga sudah sekian lama digunakan sindiket untuk tujuan penyeludupan diesel subsidi terbabit di sekitar perairan berkenaan.

Beliau ketika ditanya mengenai punca stok diesel terbabit diperoleh sindiket, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
"Kebiasaannya diesel subsidi dikumpulkan sindiket sedikit demi sedikit, sebelum stok terbabit dibawa sekali gus ke negara jiran. Malah, sendiri kita tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian subsidi nelayan.

"Justeru, semua bot dengan stok diesel bernilai RM13,750 itu dirampas, manakala ketiga-tiga awak-awak berkenaan pula ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya

No comments:

Post a Comment