Tuesday, February 8, 2011

PGM gagalkan cubaan seludup sembilan ekor lembu

08/02/2011 5:04pm



Oleh YATIMIN ABDULLAH

PENGKALAN KUBOR 8 Feb. - Aktiviti penyeludupan terus berleluasa di kawasan sempadan di negeri ini, sungguhpun pihak berkuasa telah meningkatkan penguatkuasaan.

Terbaru, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor mematahkan cubaan menyeludup

sembilan ekor lembu dari jenis "Baka kampung" melalui sungai dari negara jiran di kampung Tualang, Simpangan, dekat sini, awal pagi ini.

Rampasan tersebut menyusul selepas kejayaan PGM merampas minyak petrol bernilai RM4,894 dalam dua operasi berasingan di Kampung Simpangan sepanjang minggu lalu.

Penolong Pengawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Asisten Supritanden Wan Ismail Wan Mamat berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 5 pagi hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM) selama seminggu di Kawasan Mentua.

Menurutnya, anggota URM telah menjejaki penyeludup menyeberangi Sungai Golok di Kampung Tualang dan melalui kawasan bendang padi dengan membawa lembu-lembu berkenaan ke arah Kampung Mentua.

"Semasa sampai di kawasan bendang tersebut, anggota URM telah memperkenalkan diri sebagai polis dan terus membuat serbuan. Semasa diserbu dua orang lelaki berjaya meloloskan diri dan meninggalkan lembu-lembu itu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihak kami mendapati ada sembilan ekor lembu iaitu dua ekor betina, selebihnya jantan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM27,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment