Tuesday, February 15, 2011

Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 Feb. - Kegiatan seorang pegawai dan dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima rasuah RM500 untuk membatalkan saman pesalah trafik terbongkar apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan bersama seorang awam yang bertindak sebagai orang tengah untuk meminta wang daripada pesalah trafik dalam operasi SPRM negeri di Shah Alam, Selangor.

Jurucakap SPRM negeri berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang orang awam di negeri ini.

Katanya, pengadu mendakwa terdapat individu meminta rasuah jika ingin membatalkan saman yang dikeluarkan terhadapnya oleh jabatan itu, baru-baru ini.

"SPRM kemudian menahan individu terbabit yang disyaki orang tengah selepas dia mengambil wang berjumlah RM500 daripada pengadu.

"Hasil soal-siasat lelaki itu mengaku dia diarahkan oleh anggota JPJ terbabit untuk mengambil wang daripada pengadu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu, SPRM menahan seorang pegawai JPJ dan dua anggotanya di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Difahamkan, pegawai dan anggota JPJ tersebut bertugas di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa, Klang.

Jelas jurucakap berkenaan, kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan mereka kini ditahan di lokap SPRM negeri untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini kita masih menyiasat tempoh pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dalam kegiatan rasuah serta kesalahan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

No comments:

Post a Comment