Sunday, February 20, 2011

3 polis didakwa ambil rasuah daripada kerani

Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my
2011/02/21
Koperal, sarjan dan sarjan mejar mengaku tidak bersalah

CHUKAI: Tiga anggota polis, masing-masing berpangkat koperal, sarjan dan sarjan mejar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang kerani sebuah syarikat besi buruk. Ketiga-tiga tertuduh, Koperal Baderulhisham Abdullah Sani, 46; Sarjan Almi Yaccob, 56, dan Sarjan Mejar Shamsudin Omar, 52, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa secara berasingan dan mengaku tidak bersalah. Mengikut kertas pertuduhan, Baderulhisham dituduh menerima suapan RM500 daripada Nor Hasni Maria Ab Rahim untuk tidak melakukan pemeriksaan rekod belian besi buruk di premis RBA Metal Sdn Bhd di Jalan Bukit Kuang di sini.

Almi dan Shamsuddin masing-masing menghadapi dakwaan atas tiga pertuduhan menerima suapan dan bersubahat.

Almi menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan masing-masing sebanyak RM500 jam 12.25 tengah hari pada 8 Januari 2009; jam 11.55 pagi pada 5 November 2009 dan jam 2.30 petang pada 9 Disember 2009 daripada Nor Hasni Maria.

Shamsudin pula didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Almi menerima suapan RM500 setiap kali pada masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

No comments:

Post a Comment