Thursday, February 10, 2011

Dua ejen dituduh tipu wang jemaah

2011/02/11


JOHARI (kanan) dan Mustafar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan tipu pakej umrah RM766,500.KUALA TERENGGANU: Dua ejen pelancongan dari Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana didakwa melakukan pecah amanah dan menipu wang bayaran pakej mengerjakan umrah ke Makkah bernilai RM766,500.

Tertuduh, Mustafar Ismail, 56, dari Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu dan Johari Kamaruddin, 35, dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan. Mustafar yang memakai kopiah putih, berbaju kemeja kelabu dan berseluar hitam kelihatan mengangguk ketika lapan tuduhan pecah amanah dan menipu membabitkan 219 jemaah dengan menawarkan pakej umrah RM3,500 setiap seorang dibacakan ke atasnya. Dia yang didakwa melakukan semua kesalahan itu di Besut bermula Februari hingga Jun tahun lalu, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi semua pertuduhan berkenaan.

Johari pula menghadapi satu tuduhan dan didakwa melakukan kesalahan sama pada 1 Jun 2009, jam 3.20 petang di depan Maybank cawangan Jertih membabitkan wang RM5,500.

Tertuduh tidak mengaku salah dan minta dibicarakan dan mahkamah mengenakan ikat jamin RM6,000.
Pendawaan ke atas kedua-dua tertuduh dijalankan Inspektor Faisal Abdullah di depan Majistret Nor Adila Abd Latiff.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun, denda dan sebat. Nor Adila menetapkan 30 Mac ini tarikh sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment