Wednesday, February 16, 2011

Saman fitnah syarikat kopi terhadap Utusan Karya ditolak

ALOR SETAR 16 Feb. 2011 - Sebuah syarikat pengilang dan pengedar kopi hari ini gagal dalam tuntutan saman fitnah terhadap Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) yang didakwa menerbitkan semula sebuah rencana iklan dalam tiga buah majalah terbitannya mengenai kopi tersebut, enam tahun lalu.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim See Mee Chun yang menolak dengan kos saman tersebut setelah mendapati pihak plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan-defendan.

Pihak plaintif iaitu MB Products (M) Sdn. Bhd. dan R.H. Marketing Sdn. Bhd. menamakan UKSB dan ejennya, Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Ahmad Abdul Hamid, BYG Worldwide Bhd. dan Yang Chin Yong sebagai defendan pertama hingga keempat.

Defendan pertama merupakan penerbit majalah Mastika, Saji dan Keluarga Harmoni manakala defendan kedua ialah ketua pengarang majalah-majalah tersebut ketika itu.

Defendan ketiga pula adalah sebuah syarikat pengeluaran kopi dan defendan keempat ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut.

Penghakiman ringkas kes saman itu dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Ooi Sheow Wean mewakili Hakim Mee Chun.

Pihak plaintif diwakili oleh peguam Mohd. Jamil Abd. Rahman manakala defendan pertama dan kedua diwakili oleh Mohana Kumar yang turut hadir bagi pihak defendan ketiga dan keempat.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 21 April 2006, pihak plaintif mendakwa, majalah Mastika, Saji dan Keluarga Harmoni telah mengeluarkan kenyataan daripada defendan ketiga dan keempat dalam rencana iklan bagi keluaran antara 15 Ogos 2005 dan September 2005 bertajuk 'Kopi Merah BYG tak pernah tukar kotak'.

Pihak plaintif mendakwa, rencana iklan tersebut merujuk kepada syarikatnya yang bermaksud untuk mengelirukan pengguna bahawa plaintif adalah syarikat tidak bertanggungjawab, bersikap tamak dan menggugat populariti Kopi Merah BYG.

Menurut pihak plaintif lagi, perniagaan mereka terjejas selepas tersiarnya rencana tersebut sehingga mereka terpaksa menghentikan keluaran kopi merah berkenaan.

Dengan itu, pihak plaintif menuntut ganti rugi, injunksi menghalang kesemua defendan daripada menyiarkan rencana tersebut, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara pihak defendan pertama dan kedua dalam pernyataan pembelaan bertarikh 28 Jun 2006 menyatakan, rencana iklan tersebut tidak merujuk kepada pihak plaintif, malah identiti pengeluar atau pengedar kopi pihak ketiga itu juga tidak diterbitkan.

No comments:

Post a Comment